Monday, June 21, 2010
Salam…

Aku kehilangan emak ketika aku berusia 2 tahun. Lepas tu arwah abah ada berkahwin lagi, tapi aku tak tinggal bersama dengan emak tiri aku ni, Kebetulan arwah abah ditugaskan di lokomotif KTM di Singapore. Aku yang bersekolah di Kluang hanya ke sana bila cuti sekolah.

Umurku 10 tahun, aku mula tinggal dengan Along. Sejak itu segala-galanya urusan Along. Dari makan, pakai, sekolah, sakit, pening, sampai majlis kahwin kami adik beradik pun dia yang bertungkus lumus. Tapi aku masih lagi meneruskan tradisi, cuti sekolah aku harus habiskan dengan arwah abah. Kalau tak, pasti aku sudah lupakan tentang seorang abah. Aku bersyukur tentang itu.

Menjelang tahun 1987, Along mengambil keputusan untuk berpindah dan bekerja di Kluang. Abah pula akan menamatkan kerjayanya pada Mac 1988, dan dia pun sudah membeli sebuah rumah di Kluang. Jadi kesempatan ini amat dinantikan, untuk merapatkan kembali diri kami dengan abah. Malangnya, abah mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di Temerloh, Pahang, tempat tumpah darahnya. Sekali lagi kami berjauhan dengan abah. Tapi abah tetap abah. Kalau ada kesempatan dan cuti yang panjang, kampung abahlah destinasi kami.

Aku memang tidak pernah merasa kasih sayang emak dan abah. Along lah tempat aku bermanja. Apa yang aku ada hari ini adalah kerana seorang Along. Tapi dia juga ada tanggungjawab dia sendiri, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Jadi aku harus pandai membawa diri. Walaupun kadangkala aku terasa hati dengan perhatian yang diberikan lebih kepada 2 orang anaknya, tapi akhirnya aku akur, aku hanya seorang adik. Dan kalau aku rindu pun aku akan lebih rindukan Along. Tapi emak dan abah tetap satu je dalam dunia ni buat aku. Walaupun tak pernah bermanja dengan mereka, aku tetap rindukan mereka.

Selamat Hari Abah…

Jumpa lagi…